Thursday, 19 September 2013

SISTEM EKONOMI TRADISIONAL

PENGENALAN

Sistem ekonomi Melayu tradisi amat berlainan daripada sistem yang dibawa oleh British. Dalam sistem ekonomi Melayu, masyarakat Melayu berteraskan sistem ekonomi sara diri. Cuma setelah kehadiran dan penaklukannya terhadap negeri-negeri Melayu sistem tradisi ini telah bertukar kepada sistem ekonomi komersial. Walaupun begitu, sifat-sifat ekonomi komersial pernah juga dijalankan oleh masyarakat sebelum kedatangan penjajah barat. Cuma ia dijalankan secara kecil-kecilan sahaja.


Sistem Ekonomi Sara Diri

Sistem ekonomi sara diri dari segi konsepnya ialah satu sistem pertanian sara hidup. Dalam konteks sistem ini barangan pertanian yang dikeluarkan ialah barangan untuk kegunaan keluarga sahaja. Ia tidak berfokuskan kepada lebihan pengeluaran. Ini berbeza dengan sistem pertanian komersial yang berfokuskan lebihan pengeluaran. Hal ini kerana dengan bahan pengeluaran yang berlebihan itu, usahawan yang mengusahakan boleh menjual dan mendapatkan keuntungan. Mengapakah masyarakat Melayu tradisi tidak menjuruskan sistem ekonominya ke arah sistem ekonomi komersial? Dalam menjawab persoalan ini pelbagai faktor perlu diambilkira. Ia perlu dilihat dari aspek sistem kerja, sistem pemilikan tanah, sistem kenegaraan, teknologi yang digunakan, hubungan petani dengan dunia luar, dan sumber pertanian.

Dari aspek sistem kerja, petani yang menggerakkan kerja pertanian berasaskan sistem kekeluargaan. Ia tidak melibatkan orang lain. Dengan sistem ini sebuah keluarga mengusahakan pertanian mereka sahaja. Mereka tidak melibatkan orang lain. Dengan kata lain mereka boleh mengusahakan tanah mereka atau tanah tuan mereka dengan keluarga mereka sahaja. Sebagai kesan daripada konsep ini mereka tidak perlu memikirkan untuk membayar upah kepada orang lain. Melalui cara ini mereka sekadar memuaskan hati dengan keperluan bagi keluarga mereka. Oleh itu, konsep lebihan untuk mencari untung tidak pernah difikirkan ( Amarjit Kaur. 1991; Ishak Shaari. 1991).

Dalam aspek sistem kenegaraan ia melibatkan sistem serah dan sistem kerah. Kita ketahui bagaimanakah caranya sultan berperanan dalam mengketengahkan kekeramatan dan kemuliaan. Ia ditunjukkan melalui ilmu yang dimiliki, alatan, restu mahupun lambang-lambang kekuatan lain dan selalunya dihubungkan dengan ketuhanan. Oleh itu ia dapat menggerakkan rakyat untuk menyatakan kesetiaan dan ketaatannya. Untuk menunjukkan kesetiaan dan ketaatan inilah para petani terutama orang lelaki dipaksa bekerja untuk sultan mahupun pembesar. Selalunya kerja-kerja dalam sistem ini bukan sahaja melibatkan bidang pertanian, tetapi merangkumi pelbagai bidang lain. Ia pula dilakukan tanpa mempunyai ketetapan yang tetap. Oleh itu, jangka masa yang tidak tentu menyukarkan kerja-kerja pertanian yang hendak dijalankan. 


Selain daripada menunjukkan ketaatsetiaan dalam corak menyerahkan diri untuk kerja-kerja sultan, para petani juga diikat dengan sistem serah. Dalam hal ini para petani perlu menyerahkan sama ada lebihan hasil, barangan, keperluan dan lain-lain bahan untuk sultan. Ini bagi menunjukkan kesetiaan dan ketaatan. Ishak Shaari ( 1991 ) menyatakan sistem serah ini lebih teruk daripada sistem kerah. Ia membuatkan rakyat berasa bimbang bahawa lebihan mereka akan dirampas oleh sultan atau pembesar tempatan.

Keterbatasan hubungan antara petani dengan dunia luar boleh menyumbangkan kemampuan petani untuk mengubah corak pertanian mereka. Biasanya hubungan dagangan hanya dilakukan oleh para pembesar dengan tidak memberi peluang kepada petani untuk menjalankan urusan perdagangan. Sebab itulah kalau dilihat daripada aktiviti kerja yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sebahagian besarnya adalah berteraskan sektor pertanian. Mereka tidak dapat melihat peluang-peluang yang ada dalam aspek perdangan. Biasanya aspek ini dibolot oleh pembesar-pembesar atau sultan.

 Keterbatasan ini jugalah yang menyebabkan orang-orang Melayu tidak dapat melihat kebaikan sistem-sistem yang cuba dilaksanakan oleh orang-orang Inggeris. Kita harus akui ada sistem yang dibawa Inggeris boleh memecahkan kebuntuan dan kemiskinan orang Melayu. Hal ini boleh dilihat daripada mengasingkan konsep ketuhanan yang ada pada sultan dan mengendurkan ketaatan yang membabi buta. Ini didasarkan sebenarnya konsep komersial telah lama dijalankan, cuma ia diboloti oleh orang-orang yang mempunyai hubungan dengannya. Keadaan ini jauh berbeza dengan sikap petani dan orang barat yang mengamalkan sikap keterbukaan dan menerima revolusi sama ada revolusi pertanian dan industri. Hal ini kerana pada waktu itu mereka menjuruskan pemikiran mereka ke arah pemikiran inkuiri dan sentiasa ingin tahu berkenaan alam dan memangkinkan ilmu untuk kesejahteraan hidup. Inilah sebenarnya yang menjayakan Islam dan akhirnya hal ini jugalah yang ditinggalkan oleh Islam.


Keadaan ini telah menyebabkan para petani menjalankan ekonominya secara kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang dengan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan khususnya dalam penanaman padi dengan padi huma dan sawah, mencari hasil hutan seperti buah-buahan hutan ,rotan serta akar kayu bagi ubatan tradisi, perternakan ayam itik, menangkap ikan di sungai dengan cara memancing ataupun memasang lukah yang tidak begitu produktif untuk hasil ekspot, dan pelombongan dengan cara mendulang. Usaha-usaha ini dijalankan hanya bagi menampung kehidupan dan tidak wujud satu pengkhususan kerja serta matlamat pengeluaran bagi tujuan ekspot. Oleh itu, petempatan masyarakat melayu banyak terdapat di pinggir-pinggir hutan dan sungai kerana di situlah banyak sumber bagi mereka menampung kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment